SEREMBAN, 5 Februari 2026 – Majlis Pelancaran Soft Launch Buku Biografi Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Edisi Pertama di Malaysia telah berlangsung dengan jayanya di Klana Resort, Seremban hari ini, disempurnakan oleh YB Veerapan Superamaniam.

Majlis anjuran JC Scope Marketing itu menghimpunkan pelbagai tokoh usahawan dan pemain industri, dengan penerbitan buku berkenaan menampilkan biografi 100 usahawan IKS yang berjaya dari seluruh negara. Inisiatif tersebut dilihat sebagai satu usaha signifikan dalam mendokumentasikan kejayaan usahawan tempatan sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi baharu dalam dunia perniagaan.
Dalam ucapannya, YB Veerapan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan JC Scope Marketing atas penganjuran majlis yang bukan sahaja mengiktiraf kejayaan usahawan, malah membuka ruang kepada peluang rangkaian perniagaan yang lebih luas dalam kalangan usahawan IKS dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau turut memaklumkan bahawa satu Majlis Anugerah Usahawan dirancang untuk diadakan pada Jun 2026 sebagai kesinambungan kepada usaha memperkasa komuniti usahawan. Menurutnya, penganjuran majlis tersebut dijangka menjadi pemangkin semangat dan pengiktirafan kepada usahawan yang cemerlang, selain menggalakkan daya saing yang sihat dalam industri perniagaan.
Pada masa sama, YB Veerapan turut menyentuh mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan dalam pemerkasaan keusahawanan, antaranya Geran TUNS sehingga RM3,000 dan Pinjaman TUNS Plus tanpa faedah yang kini ditangguhkan sementara, Geran Padanan TUNS Extra sehingga RM30,000, serta inisiatif baharu penubuhan Galeri Jualan IKS di Bandara Sunggala, Port Dickson.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri komited untuk terus menyokong pembangunan usahawan tempatan agar mereka lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampu menembusi pasaran yang lebih luas di peringkat nasional serta antarabangsa.
Majlis pelancaran itu diakhiri dengan sesi simbolik pelancaran buku dan sesi jaringan bersama para usahawan yang hadir.















