YB Dr. Gunaraj George ADUN Sentosa N.48

13.02.2026

Saya merakamkan setinggi – tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pendirian tegas beliau yang menegaskan bahawa tiada mana – mana pihak berhak mengambil undang – undang di tangan sendiri, khususnya dalam isu melibatkan rumah ibadat.

Kenyataan YAB Perdana Menteri bahawa negara ini mesti berasaskan peraturan dan undang – undang bukan atas kehendak atau tindakan mana – mana individu, ianya merupakan peringatan penting kepada semua pihak agar sentiasa menghormati proses perundangan serta institusi yang sah.

 

Dalam perkara berkaitan rumah ibadat, perlu difahami bahawa kementerian berkaitan serta Kerajaan Negeri telah mempunyai sistem dan mekanisme sedia ada seperti LIMAS bagi menyelaras, menasihati dan memastikan pematuhan terhadap garis panduan perancangan serta keperluan undang – undang. Segala isu dan kebimbangan hendaklah disalurkan melalui saluran rasmi ini dan bukannya melalui tindakan unilateral yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

 

Pada masa yang sama, saya menyeru agar pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan proses kelulusan bagi permohonan yang masih tertangguh. Kelewatan berpanjangan boleh menimbulkan salah faham serta ketegangan yang tidak perlu. Kecekapan, ketelusan dan komunikasi yang jelas amat penting bagi memastikan isu – isu ini ditangani secara profesional dan adil.

 

Saya juga menggesa semua agensi kerajaan yang berkaitan supaya memberikan kerjasama penuh serta membantu pemohon memenuhi syarat – syarat yang ditetapkan. Pendekatan yang tersusun, bersepadu dan berorientasikan penyelesaian akan memperkukuhkan keyakinan rakyat bahawa negara ini benar – benar ditadbir berlandaskan kedaulatan undang – undang serta semangat hormat menghormati antara semua kaum dan agama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *